PRV205: I-BiQ

AHMAD SHUIB BIN ABDUL FATAH KOLEJ MATRIKULASI SELANGOR

Kajian ini dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran pelajar dalam menyelesaikan persamaan asas trigonometri yang melibatkan fungsi sinus dan kosinus iaitu sin x = k dan cos x = k di mana k = -1,0,1. Ingenious Binary Quadrant (I-BiQ) dicipta bertujuan untuk membantu pelajar menyelesaikan soalan persamaan asas trigonometri dengan tepat dan lengkap. I-BiQ bermula dari bahan bantu mengajar yang maujud seterusnya diinovasikan sebagai satu aplikasi mudah alih yang mengandungi tatacara penyelesaian persamaan asas trigonometri di mana ia bersifat mesra pengguna dan mudah diakses tanpa mengira masa dan tempat. Kajian ini melibatkan 20 orang pelajar kelas S1K4T2 jurusan sains program Sistem Dua Semester di Kolej Matrikulasi Selangor. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah borang soal selidik, ujian pra dan ujian pos. Keputusan ujian pra dan pos serta item dalam soal selidik dianalisis dengan menggunakan peratusan. Hasil dapatan ujian pra dan pos menunjukkan peningkatan yang ketara selepas I-BiQ diperkenalkan. Hasil dapatan soal selidik juga mendapat maklum balas yang positif terhadap penggunaan I-BiQ. Justeru, aplikasi mudah alih ini berpotensi tinggi untuk dikomersialkan kerana ia boleh diaplikasi oleh pelbagai pihak. Secara ringkasnya, I-BiQ merupakan satu aplikasi mudah alih yang boleh membantu pelajar menyelesaikan persamaan asas trigonometri dan seterusnya meningkatkan prestasi dan minat mereka. Kata kunci: fungsi trigonometri, aplikasi mudah alih, matrikulasi