STV449: FLOWFINITY

SITI MASHITAH BINTI MAT YUSOFF KOLEJ MATRIKULASI KELANTAN

Pada masa kini, pencemaran alam sekitar menjadi isu global yang semakin mendesak. Plastik dan bahan buangan lain menyumbang kepada pencemaran tanah, air, dan udara. Salah satu isu utama dalam pengurusan sisa adalah kebanyakan bahan buangan, terutama plastik dan kotak, berakhir di tapak pelupusan sampah atau lautan, menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang serius. Walaupun terdapat usaha untuk mengitar semula bahan-bahan ini, banyak sisa tidak diproses dengan betul atau berakhir sebagai sampah yang mencemarkan ekosistem. Oleh itu, penyelesaian yang lebih efektif diperlukan dalam memanfaatkan bahan kitar semula untuk mengurangkan impak pencemaran dan menangani cabaran ini. Pembangunan produk Flowfinity yang mengintegrasikan kotak kitar semula, botol plastik, dan bateri adalah satu langkah penting ke arah pengurangan pencemaran dan pengurusan sisa yang lebih baik. Flowfinity adalah alat mudah alih yang digunakan untuk menyimpan dan mengeluarkan air dari botol plastik yang sesuai digunakan semasa menjalankan aktiviti di luar rumah seperti berkhemah dan mengembara. Bahan-bahan terpakai seperti kotak, botol plastik, dan bateri dikumpulkan untuk dijadikan bahan mentah dalam penghasilan produk Flowfinity. Produk Flowfinity direka menggunakan bahan-bahan kitar semula untuk menghasilkan item yang mudah digunakan dan mesra alam. Produk yang dihasilkan diuji untuk menilai ketahanan, kecekapan serta penggunaan tenaga. Ujian ini bertujuan untuk memastikan produk memenuhi standard kualiti dan berfungsi dengan baik dalam aplikasi sebenar. Produk ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban sampah di tapak pelupusan dan lautan, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dengan menggunakan bahan terpakai yang boleh dikitar semula. Projek ini menekankan pentingnya penggunaan bahan kitar semula dalam usaha untuk menjaga kelestarian alam sekitar, mengurangkan pembaziran, serta memberi sumbangan kepada pemeliharaan sumber semula jadi.