NURSYAZLEEYA BINTI MAZLAN KOLEJ VOKASIONAL TANAH MERAH
Kajian ini bertujuan untuk menghasilkan Minyak Angin Beraromaterapi yang inovatif dengan aroma "strawberry" dan "bubble gum" serta reka bentuk pembungkusan "roll-on". Produk ini direka khusus untuk meningkatkan pengalaman pengguna dengan menyediakan bauan yang menyenangkan dan memudahkan penggunaannya. Campuran bahan utama seperti minyak mineral, menthol crystal, camphor powder, pati serai wangi, dan minyak pati memberikan manfaat terapeutik seperti melegakan sakit kepala, ketegangan otot, serta meningkatkan relaksasi dan kualiti tidur. Penelitian ini melibatkan penghasilan formulasi minyak angin, pengujian keberkesanannya ke atas 30 responden, dan analisis terhadap penerimaan pengguna terhadap produk. Kajian mendapati bahawa Minyak Angin Beraromaterapi memberikan kesan yang efektif dalam meredakan gejala seperti sakit kepala, stres, dan kembung perut. Tambahan pula, reka bentuk "roll-on" menjadikan penggunaannya lebih praktikal dan menarik minat pengguna, terutamanya golongan muda. Kesimpulannya, kajian ini bukan sahaja berjaya menghasilkan produk minyak angin yang lebih menarik dan mesra pengguna tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kesedaran mengenai manfaat aromaterapi dalam produk harian.