QUYRUL ZETA BINTI ISHAK Politeknik Nilai
Projek ini dijalankan untuk menangani isu pemantauan kebersihan dan pengurusan penggunaan makmal komputer yang dihadapi oleh penyelaras makmal. Terdapat masalah di mana makmal tidak dibersihkan mengikut jadual yang ditetapkan, dan penyelaras makmal komputer perlu mengatur jadual dan pekerja kebersihan untuk menjalankan tugas mengikut keperluan. Selain itu, rekod penggunaan makmal, termasuk log keluar masuk pengguna dan rekod penggunaan komputer, perlu disusun dengan lebih efisien. Projek ini mempunyai tiga objektif utama: Pertama iaitu untuk merekod log penggunaan PC makmal menggunakan teknologi NFC bagi memudahkan perekodan yang lebih tepat dan pantas, kedua untuk membangunkan dashboard digital untuk log penggunaan PC yang membolehkan penyelaras memantau dan menganalisis data penggunaan makmal secara visual, dan yang ketiga adalah memantau jadual kebersihan makmal bagi memastikan kebersihan yang konsisten. Metodologi projek ini berasaskan SDLC (System Development Life Cycle) yang melibatkan beberapa fasa utama seperti perancangan, analisis, reka bentuk, implementasi, pengujian dan penyelenggaraan. Hasil awal menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kecekapan pencatatan Log Penggunaan PC. Selain itu pemantauan jadual kebersihan yang lebih teratur, pengurangan penggunaan kertas untuk menyokong amalan hijau, peningkatan keselamatan data pengguna dan privasi, peningkatan tahap kepuasan pengguna dan dapat menganalisa pola penggunaan makmal. Sistem ini dijangka dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan makmal komputer dengan menyediakan platform pemantauan yang mudah dan efisien bagi kedua-dua log penggunaan PC dan jadual kebersihan makmal.