HASRUL HALIMOON KOLEJ VOKASIONAL MELAKA TENGAH
Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mentafsir dan menulis komponen struktur yang tersembunyi di dalam bangunan yang dihadapi oleh pelajar 1 Sijil Teknologi Pembinaan di Kolej Vokasional Melaka Tengah menggunakan Inovasi Smart Building Structure. Inovasi ini merupakan sebuah alat bantu mengajar yang dapat membantu pensyarah untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam mentafsir struktur bangunan yang tersembunyi dan menggunakan istilah yang betul dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Inovasi ini menggunakan 3 langkah mudah iaitu, mentafsir, mengingat, dan pengukuhan serta mengaplikasikan konsep Augmented Reality (AR) yang dapat memberi gambaran jelas kepada pelajar untuk membayangkan secara visual lukisan penuh, lukisan struktur dan lukisan tetulang. Kajian ini dijalankan ke atas 10 orang pelajar yang terdiri daripada 5 orang pelajar lelaki dan 5 orang pelajar perempuan. Pendekatan utama yang digunakan ialah kaedah kuantitatif iaitu menggunakan instrumen ujian diagnostik dan pendekatan kualitatif sebagai sokongan yang terdiri daripada borang pemerhatian dan borang soal selidik. Hasil dapatan kajian menunjukkan aktiviti yang dilaksanakan dapat membantu pensyarah menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran dari aspek pra pengajaran, semasa pengajaran dan pasca pengajaran yang dapat diimplementasikan dalam proses penambahbaikan kualiti berterusan (CQI).