NURSYAHIRA BINTI SAZALI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan inovasi Monopoli Kampung Melayu sebagai bahan pembelajaran berasaskan gamifikasi dalam meningkatkan penguasaan tatabahasa Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Walaupun pengajaran tatabahasa telah dilaksanakan sejak peringkat awal persekolahan, pendekatan konvensional yang berorientasikan hafalan dan latihan bertulis masih kurang berkesan serta tidak kontekstual. Sehubungan itu, kajian ini menggunakan pendekatan Research and Development (R&D) berasaskan model ADDIE dan kaedah kuantitatif melalui soal selidik melibatkan 25 orang pelajar. Dapatan kajian menunjukkan peningkatan yang signifikan dari segi prestasi pembelajaran, penglibatan, kecekapan, hasil pembelajaran dan kepuasan pengguna. Kesimpulannya, Monopoli Kampung Melayu merupakan inovasi pedagogi yang berkesan, interaktif dan berpotensi sebagai bahan bantu mengajar alternatif dalam pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu.