PR364: Inovasi Blok Interaktif Traktif (BITRA)

DR. NORSIAH BINTI BAHARI JABATAN PEMBANGUNAN LATIHAN & PENGAJIAN SISWAZAH (JPLPS) IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU MELAKA

 

     Blok Interaktif Traktif (BITRA) dicipta dan diperkenalkan sebagai salah satu intervensi untuk memudahkan murid membuat gambaran dan mencorak idea membentuk huruf-huruf yang berkaitan secara tepat dan fleksibel menggunakan blok kayu. Ia juga meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti murid. Corak dan gambaran secara fleksibel berdasarkan 2 jenis warna blok kayu iaitu warna coklat gelap dan coklat cair. BITRA juga dapat membantu murid meningkatkan kemahiran asas melalui kemahiran motor halus dalam menjelmakan corak yang telah digambarkan dalam minda ke bentuk-bentuk menggunakan blok kayu dengan lebih mudah dan cepat.

 

 

     Semasa intervensi, murid dapat menterjemahkan hasil daripada eksperimentasi dan penerokaan alatan, bahan dan proses dalam penghasilan produk seni anyaman dengan menggunakan imaginasi dan idea secara kreatif. Produk seni anyaman dapat dihasilkan mengikut teknik yang telah ditetapkan secara cepat dan tepat. Kesan corak dan gambaran yang dihasilkan melatih murid mengenal pasti aturan yang tepat untuk disesuaikan dengan bentuk huruf yang hendak dijelmakan. Proses pengiraan dan susunan blok berlaku mengikut idea yang digambarkan dan direalisasikan pada templat yang disediakan.

 

     Proses susunan blok kayu yang telah digambarkan memerlukan kiraan yang tepat dan cepat. Secara tidak langsung murid dapat meningkatkan kemahiran motor halus, membuat pengiraan iaitu kemahiran matematik dan kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif. Kemahiran berfikir secara kreatif adalah kemampuan untuk menghasilkan atau mencipta sesuatu yang baharu dan bernilai dengan menggunakan daya imaginasi secara asli serta berfikir tidak mengikut kelaziman.

 

Kata kunci: Blok Interaktif Traktif, Motor Halus, Imaginasi