PR610: PARCELSENSE: SISTEM PEMANTAUAN BUNGKUSAN BERASASKAN IOT

Dr. Yuhanim Hani Binti Yahaya Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

 

Setiap hari pasti terdapat kurier yang menghantar bungkusan ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM. Ketibaan kurier serta keberadaan dan ketersediaan pelajar di kolej yang tidak menentu menyukarkan pengambilan bungkusan tepat pada masanya. Malah keadaan tempat bungkusan yang terbuka dan tiada pemantauan membuka ruang kepada individu tidak bertanggungjawab untuk mengambil hak orang lain. Oleh itu, Parcelsense, sebuah sistem berasaskan Internet of Things (IoT) yang menggunakan sensor tekanan dibangunkan sebagai inisiatif untuk menangani masalah tersebut dengan memantau dan mengemas kini status bungkusan secara masa nyata. Projek ini menggunakan kamera Raspberry Pi sebagai pengimbas butiran bungkusan, manakala ESP32 berfungsi untuk membaca data daripada sensor tekanan. Pada masa yang sama, kamera web USB digunakan untuk memperoleh maklumat secara visual. Seterusnya, maklumat bungkusan yang diperoleh akan dihantar ke bot Telegram untuk tujuan makluman dan pengesahan oleh pelajar. Akhir sekali, data akan diproses dan direkodkan untuk pemantauan lanjut. Hasil yang dijangkakan daripada projek ini ialah sistem dapat mengesan penempatan dan pengalihan bungkusan dengan tepat, memaklum pelajar secara masa nyata serta bukti imej. Secara keseluruhannya, Parcelsense mengurangkan kes kecurian bungkusan dan meningkatkan kepercayaan dalam pengendalian bungkusan.