ALBERTADAM ANDARIAS KOLEJ VOKASIONAL MIRI
Inovasi Silangkata Topik Sets ini dibangunkan bagi membantu pelajar Semester 2
Program Teknologi Automotif Kolej Vokasional Miri mengukuhkan penguasaan dalam
topik sets yang merupakan antara kandungan penting dalam silibus Matematik
A03201. Inisiatif ini dimulakan pada 23 Oktober 2024 melalui penglibatan aktif pelajar
sendiri dalam membina bahan pembelajaran berbentuk permainan silang kata yang
berasaskan konsep himpunan. Pendekatan ini berasaskan Teori Konstruktivisme
Vygotsky, yang menekankan peranan interaksi sosial dalam membina pengetahuan
baharu melalui aktiviti kolaboratif. Aktiviti pertandingan silang kata yang
dianjurkan pelajar sendiri pada 9 Disember 2024 telah berjaya menarik minat dan
meningkatkan penglibatan rakan-rakan mereka. Penyampaian hadiah dilakukan pada
16 Disember 2024. Data ujian pra dan pos menunjukkan peningkatan skor daripada 49
kepada 92. Peratusan lulus meningkat daripada 11 pelajar kepada 28 daripada 30
orang. Purata nilai gred juga melonjak daripada 1.7 (D+) kepada 2.78 (B−) pada 7 April
2025. Bilangan pelajar yang memperoleh A- juga meningkat daripada seorang
kepada enam orang. Dapatan soal selidik menunjukkan bahawa 100% peserta
bersetuju inovasi ini membantu mereka memahami topik dengan lebih menyeronokkan
dan bermakna. Inovasi ini membuktikan bahawa penglibatan pelajar dalam membina
dan melaksanakan aktiviti pembelajaran berimpak tinggi boleh meningkatkan
pencapaian akademik serta memupuk budaya pembelajaran aktif dan kolaboratif.